Sunday 23 September 2012

UNSUR FPK DALAM SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU

Unsur- unsur penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan hubungannya dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. 1.0 PENGENALAN Pendidikan merupakan tonggak kemajuan,tidak kira sama ada kemajuan individu masyarakat mahupun Negara.Pendidikan jugalah yang akan menentukan dan membezakan corak manusia dan masyarakat.Manusia yang berpendidikan lebih berdisplin,berbanding manusia yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperolehi jika wujud sistem yang teratur. Pendidikan ini adalah satu proses pengajaran pembelajaran yang melibatkan perhubungan dan interaksi antara individu, tidak kira sama ada guru dan murid serta hubungan dengan rakan sebaya atau sebaliknya.Para guru harus menjalankan tugas berlandaskan garis panduan falsafah pendidikan kebangsaan.Banyak tugas guru perlu digalas demi memenuhi matlamat pendidikan negara ini,supaya tidak hilang matlamat asal penubuhannya dan sekali gus menjadi identiti sistem pendidikan negara Malaysia. Bagi membantu guru melaksanakan pengajaran pembelajaran secara berkesan, Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran disediakan untuk rujukan yang mengandungi objektif khusus pembelajaran serta mengandungi organisasi kandungan kemahiran bahasa,hasil pembelajaran,sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Bagi melatih murid-murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara optimis,mengungkap ilmu pengetahuan dari mata pelajaran lain dan juga mengembangkan kemahiran berfikir,maka Kurikulum Bahasa Melayu telah digubalkan.Ia bertujuan melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi,rohani,intelek dan sosial. 2.0 Konsep serta pengertian Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Sukatan Pelajaran 2.1 Pengertian Falsafah Pendidikan Dalam perkembangan pendidikan konsep falsafah mempunyai pengertian yang besar dan boleh dipisahkan.Maju mundurnya sistem pendidikan sesebuah negara selalu dikaitkan dengan falsafah pendidikan. Falsafah sebenarnya berasal dari dua perkataan Yunani iaitu philein yang bermaksud mencintai atau to love dan Sophia yang bermaksud kebijaksanaan.Oleh itu,cantuman dua perkataan ini bermaksud mencintai kebijaksanaan,kesempurnaan dan kehikmahan (Mohd Salleh Lebar-Perkembangan dan haluan kurikulum pendidikan Malaysia).Suria Sumantri(1990) mendefinisikan,falsafah ialah kegiatan berfikir secara mendalam.Aristottle(1984)falsafah ialah ilmu pengetahuan yabg meliputi kebenaran berdasarkan fizik,logik,estetika,ekonomi dan politik.Manakala Syarifah Alwiah(1994) falsafah ialah sesuatu penyiasatan yang komprehensif dan logik mengenai asas pemikiran semua aktiviti manusia khususnya bidang sains,agama,seni dan pendidikan. Berdasarkan pengertian falsafah tersebut,dapatlah dirumuskan bahawa falsafah bermaksud pertimbangan atau penaakulan bijaksana yang berasakan kebenaran untuk menjelaskan sesuatu. 2.2 Pengertian pendidikan James Mill, berpendapat pendidikan ialah proses membantu setiap anggota masyarakat supaya hidup penuh kegembiraan.Mohd. Athiyah al-Abrasyi (1974)pendidikan ialah proses mempersiapkan seseorang supaya dapat hidup dengan sempurna,bahagia,cinta dengan negerinya,kuat jasmaninya,sempurna budi pekertinya,sistematik pemikirannya,halus perasaannya,suka bekerjasama dan mengamalkan perbuatan yang baik.Mohd. Quth, pendidikan ialah proses untuk membina manusia yang menyeluruh.Al-Ghazali, proses pendidikan merangkumi aspek intelek,jasmani dan pembinaan akhlak mulia serta menghormati satu sama lain. Tokoh tempatan Hamka berpendapat pendidikan ialah proses yang membentuk tingkah laku yang baik,sikap berani,sabar.rendah diri dan hormat-menghormati orang yang lebih tua.Manakala Syarifah Alwiah berpendapat pendidikan ialah proses latihan,perkembangan diri,berterusan untuk kemajuan diri seseorang sebagai aktiviti yang bersepadu,sesuatu disiplin,seni dan sains. Jadi, falsafah pendidikan berfungsi sebagai pedoman atau hala tuju yang tepat bagi menyelamatkan perkara yang berkaiatn dengan pendidikan. 2.3 Falsafah Pendidikan Negara Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideology negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan termasuk Rukun Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan.Jika dilihat daipada intipati Falsafah Pendidikan Kebangsaan, ia boleh diterjemahkan sebagai suatu hasrat untuk memastikan usaha berterusan dalam pendidikan. Proses pendidikan yang berlaku seharusnya dapat mencakupi dari segi rohani,emosi,jasmani dan intelek.Seterusnya,apabila rohani,emosi,jasmani dan intelek dapat disepadukan dalam proses pendidikan maka akan lahirlah individu yang seimbang dan harmonis.Di akhir matlamat atau hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah untuk melahirkan insan yang menghayati nilai-nilai agama dan berpegang kepadanya 2.3 Unsur penting Falsafah Pendidikan Kebangsaan Falsafah Pendidikan Negara tidak lengkap kalau tidak disertakan dengan unsur-unsur penting yang terdapat di dalam falsafah tersebut.Unsur-unsur yang dimaksudkan itu adalah seperti yang terdapat dalam Rajah 2.1. Berdasarkan rajah tersebut,beberapa unsur penting yang diharapkan patut dicapai oleh setiap individu yang sedia memahaminya. Rajah 2.3 Unsur-unsur penting Falsafah Pendidikan Negara  Menjadi warganegara Malaysia yang baik  Unsur intelek  Unsur rohani dan emosi  Unsur jasmani  Memperkembangkan potensi individu  Menyeluruh dan bersepadu  Insan yang seimbang  Kepercayaan kepada Tuhan  Rakyat Malaysia yang boleh memberi sumbangan 2.4 Faedah dan peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai faedah dan peranannya yang tersendiri ,iaitu antaranya ialah:  Sebagai rujukan dan panduan kepada pendidikan dalam merancang sistem pendidikan mengikut keperluan semasa dan wawasan yang harus dicapai.  Menjadi asas kepada matlamat pendidikan yang harus dituju oleh setiap individu.  Menyenangkan setiap individu untuk menjalankan segala aktiviti sama ada semasa berada di bangku sekolah atau di luar daripada pengajian sekolah.  Menyenangkan pihak guru dan ibu –bapa untuk mengawal anak- anak mereka daripada terdedah kepada tingkah laku buruk atau perbuatan yang boleh merugikan.  Melahirkan insan atau generasi baru yang lebih bertanggungjawab kepada kedua ibu dan bapa.,masyarakat,agama,dan negara yang dicintai iaitu berdasarkan kepada amalan prinsip rukunegara dan sisem demakrasi.  Mewujudkan masyarakat baru yang berkemahiran, maju dan sedia berkorban untukmemajukan negara, iaitu mengikut kemampuan masing-masing.  Membolehkan setiap individu menikmati pelbagai kemudahan asas melalui perlaksanaan dalam amalan pendemokrasian pendidikan.  Mewujudkan perpaduan rakyat melalui sistem pendidikan yang sama.  Membolehkan setiap individu mendapatkan peluang – peluang yang lebih luas. Dengan itu pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan misi, matlamat , peraturan dan undang- undang.Antara aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sesebuah negara yang berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia ialah dinamakan Falsafah Pendidikan Negara Namun sekitar akhir tahun 1990-an, pernyataan falsafah pendidikan telah disemak dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Ianya diterjemah sebagai: Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani ,emosi,dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhakepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan ,berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. 2.5 Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu(SPBM) Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu , merupakan satu dokumen yang menjadi panduan guru untuk melaksanakan pengajarannya di dalam kelas.Di dalamnya terdapat beberapa aspek yang berkaitan dengan isi kandungan bahasa Melayu dan hala tuju yang hendak dicapai. Aspek itu merangkumi matlamat dan objektif pengajaran bahasa Melayu, pengisian kurikulum, kandungan bahasa, sistem bahasa serta Kemahiran Bernilai Tambah.Aspek ini yang menjadi panduan kepada guru dalam pengajarannya.Tujuannya agar pengajaran bahasa Melayu ada lebih seragam, terkawal dan bersistematik. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu disediakan bagi persekolah peringkat rendah yang dibahagikan kepada dua tahap iaitu 1 dan 2.Pada tahap 1,murid dibimbing untuk menguasai kemahiran asas mendengar, bertutur, membaca dan menulis dengan menggunakan bahan ilmu daripada pelbagai sumber. Manakala pada tahap 2 pula,penekanan diberikan kemahiran belajar dan kemahiran berfikir melalui pembacaan, perbincangandan penulisan.Secara keseluruhannya, Sukatan pelajaran Bahasa Melayu ini mengandungi perkara yang dapat dipraktikan di kelas dan diamalkan dalam kehidupan seharian murid untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan perhubungan dengan masyarakat. (Perkembangan dan Haluan Kurikulum Pendidikan di Malaysia- Mohd. Salleh Lebar) 2.6 Matlamat Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Matlamat Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahas dan menghayati serta menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan , bahasa ilmu, sesuai dengan semangat rukunegara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 2.7 Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Setiap sukatan pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah, mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini akan berubah-berubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran ( KBSR) , Bahasa Melayu (edisi semakan ) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana disenaraikan :  Mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam konteks perbuatan harian dan situasi formal.  Bertutur petah dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi.  Berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara.  Membaca pebagai bahan sastera dan bahan berunsur pengatahuan dengan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperolehi ilmu dan meemproses maklumat secara kritis.  Menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan.  Memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur,membaca dan menulis.  Mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis proses penulisan yang sesuai dan betul.  Menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca dan menulis.  Menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu.  Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme dan perasaan cinta akan negara. 2.8 Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Organisasi kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah mempunyai empat bahagian iaitu:  Kemahiran Bahasa  Hasil Pembelajaran  Sistem Bahasa  Pengisian Kurikulum 3.0 Unsur–Unsur Penting Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan Dan Hubungannya Dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. 3.1 Pendidikan suatu usaha berterusan,untuk perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Jika kita merujuk semula kepada unsur-unsur penting dalam FPK,iaitu pendidikan suatu usaha yang berterusan, bermaksud proses memperolehi pengetahuan,nilai murni, dan kemahiran adalah secara berterusan iaitu sejak dari kecil hinggalah ke akhir hayat. Proses memperolehi ilmu ini akan berlansung secara berterusan selepas alam persekolahan dalam usaha meningkatkan ilmu,kemahiran dan akhlak. Peringkat memperolehi ilmu secara formal , iaitu di alam persekolahan,murid-murid akan didedahkan ilmu yang berteraskan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu iaitu menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah membina budaya pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.Sejak lahir lagi individu memiliki pelbagai keupayaan dan bakat atau potensi, dan semuanya ini masih lagi terpendam. Jadi pendidikan akan memainkan peranan utama untuk memperkembangkan potensi pelajar atau individu ke tahap yang cemerlang. Usaha ke arah itu perlulah dirancang dan dilaksanakan secara teratur dan tersusun, dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Pada masa inilah para guru akan memainkan peranannya untuk memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu . Untuk merealisasikannya , dalam proses pengajaran, guru perlulah merujuk Sukatan Pelajaran , yang mana Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu itu, sendiri yang bermatlamatkan untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi supaya memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu,perhubungan sosial dan urusan harian.Bahasa sebagai alat untuk menggerakkan potensi individu serta memajukan diri.Seseorang murid yang berjaya dalam peperiksaan kerana kemampuannya menggunakan bahasa bagi menyampaikan maksud atau kehendak soalan. Menyedari potensi pelajar boleh dimajukan ,maka sistem pendidikan di Malaysia , seperti yang termaktub dalan FPK, memberi peluang yang secukupnya dan sama rata kepada setiap individu untuk memajukan diri.Jika kita melihat objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri , iaitu untuk memperkembangkan kekuatan imaginasi,kreativiti,pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur,membaca dan menulis serta mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang betul Ada di kalangan individu yang mempunyi bakat dan keupayaan untuk memajukan diri. Namun segala bakat serta kebolehan itu tidak mampu digerakkan bersendirian, melainkan ada sokongan dari individu-individu lain. Justeru itu guru dan masyarakat perlu berganding bahu mencungkil ,memupuk, memperkembang dan mempertingkatkan bakat dan keupayaan individu seseorang 3.2 Insan yang seimbang dan harmonis intelek Seimbang dalam FPK membawa erti, memberi tempat yang sewajarnya dan adil kepada semua keperluan pendidikan manusia khususnya dari segi pertumbuhan akal, perkembangan sahsiah secara sihat dan bersepadu.Harmonis pula, wujud keserasian antara pertumbuhan dan perkembangan fizikal dengan pertumbuhan dan perkembangan rohani. Insan yang seimbang dan harmonis dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan,cergas dan hidup bermasyarakat.Semua ciri- ciri ini sangat penting untuk perkembangan intelek.Individu yang sempurna inteleknya ialah yang dapat menguasai kemahiran asas bertutur, membaca, menulis dan mengira. Oleh itu, Sukatan Pelajaran berperanan dan dapat membantu guru merancang pengajaran secara tersusun dan terancang bagi melahirkan insan yang mempunyai intelek dan berdaya fikir tinggi serta mampu bersaing antara satu sama lain, seterusnya dapat melahirkan insan yang berinovatif tinggi. Manusia yang berintelek ialah manusia yang bijaksana, berfikir secara kritis dan kreatif serta mampu menghuraikan,mencerakin,menaakul,merumus dan menghasilkan idea-idea bernas. Inti pati FPK ini jelas sekali terdapat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa iaitu setiap individu yang berintelek mampu mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kritis dan kreatif serta dapat mengemukakan idea-idea bernas dalam bentuk penulisan. 3.3 Insan yang seimbang dari segi rohani Unsur kerohanian ini adalah yang berkaitan dengan jiwa dan kalbu serta hubungan yang erat dengan ketuhanan dan Pencipta. Ia lebih menjurus kea rah amalan keagamaan. Keteguhan rohani pada setiap individu akan melahirkan kemurnian akhlak dan keinsafan kepada Pencipta.Perkaitan antara FPK dan Sukatan Pelajaran Bahasa di sini jelas dapat dilihat dari segi aspek nilai-nilai murni yang diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa berlangsung.Dalam pengajaran Bahasa Melayu, nilai-nilai murni boleh diterapkan dalam diri murid-murid ialah nilai kasih-sayang,bekerjasama,disiplin,bertolak ansur,kesyukuran dan sebagainya.Jika nilai murni ini dapat diterapkan dalam diri murid,sudah tentu akan mendorong murid untuk tidak melakukan perkara yang dilarang oleh agama dan sentiasa menunjukkan sikap yang baik, bersopan dan berakhlak mulia. 3.4 Insan yang seimbang dari segi jasmani Jasmani merujuk kepada sifat- sifat luaran fizikal tubuh ,iaitu yang berkaitan dengan anggota tubuh badan manusia.Seimbang jasmani, bererti setiap individu perlulah memiliki kecergasan fizikal untuk kecerdasan mental. Kesediaan mental dan fizikal yang sihat akan akan mempengaruhi kemahiran yang akan dicapai oleh setiap individu .Seseorang individu yang mempunyai fizikal yang sihat boleh menguasai kemahiran teknikal,manipulatif dan sosial. Individu yang mempunyai fizikal yang sihat akan menyumbangkan tenaga kerja kepada negara, yang mana tenaga kerja yang produktif akan menghasilkan peningkatan produktiviti serta daya pengeluaran negara. Dalam pengajaran Bahasa Melayu,juga menekankan aspek jasmani.Aspek jasmani boleh diterapkan melalui proses penggabungjalinan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dalam Bahasa Melayu dengan menyelitkan elemen- elemen kesihatan . Contohnya pengajaran tentang tajuk berkaitan penjagaan diri,makanan seimbang, kebersihan alam sekitar,penyakit-penyakit dan sebagainya.Kreativiti guru penting, supaya aspek penggabungjalinan mata pelajaran ini dapat menarik minat murid mengikuti pengajaran guru sehingga selesai. 3.5 Insan yang seimbang dari segi emosi Emosi adalah yang berkaitan dengan jiwa dan perasaan. Emosi akan mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.Seimbang emosi dapat menjana tingkah laku dan pemikiran sihat, matang dan bertoleransi ,antara individu.Seseorang individu yang mempunyai emosi yang seimbang dapat berperasaan tenang dan tingkah laku terkawal, rasa kasih sayang terhadap semua makhluk, memiliki semangat kekitaan,perpaduan dan menghormati orang lain, menghargai dan menyayangi keindahan alam sekitar,menghargai keindahan buatan manusia ,selagi ia tidak bertentangan dengan agama dan adat. 3.6 Insan yang berilmu pengetahuan Manusia yang berilmu pengetahuan, sentiasa berusaha mencari, mendalami serta memanfaatkan ilmu tersebut.Ilmu yang diperolehi itu pula akan disebarkan. Pendidikan yang diberikan sejak dari peringkat pra hinggalah ke tingkatan enam kepada setiap warganegara, jelas terbukti bahawa kesedaran kerajaan terhadap kepentingan ilmu pengetahuan.Disebabkan pentingnya ilmu pengetahuan dalam diri setiap individu maka tidak hairanlah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu juga bermatlamatkan untuk melahirkan murid yang berilmu pengetahuan , beretika dan berkemahiran ICT. Dalam pengajaran Bahasa Melayu , aspek tatabahasa yang diajar, misalnya dapat dipraktikkan, apabila murid ingin berkomunikasi dalam kehidupan harian mereka.Mereka juga perlu menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa dan sebutan yang betul.Semuanya ini adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi supaya memenuhi keperluan diri, memperolehi ilmu, perhubungna sosial dalam urusan harian mereka. 3.7 Insan yang mempunyai bakat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menekan elemen bakat.Bakat dan keupayaan yang dikurnia oleh Allah sejak dari lahir,semuanya masih lagi terpendam.Dengan pendidikan,bakat dan keupayaan yang sedia ada itu akan dikembangkan ke arah kecemerlangan. Dalam pengajaran Bahasa Melayu pelbagai bakat boleh dilatih dan diajar contohnya aktiviti lakonan, nyanyian,mendeklamasi sajak,bersyair,berpidato dan sebagainya . Semua aktiviti ini adalah ke arah mencungkil bakat dalam diri setiap individu. 3.8 Insan yang berakhlak mulia Berakhlak mulia merangkumi segala perbuatan dan tingkahlaku yang baik,berdisplin dan bersopan santun. Individu yang berakhlak mulia akan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta perlakuan-perlakuan yang baik.Mereka juga tahu yang mana nilai yang patut diikuti dan tidak patut diikuti .Pada masa yang sama juga mereka perlu menghayati nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Dalam pengajaran Bahasa Melayu dapat merealisasikan aspek ini,misalnya guru perlu menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri murid-murid.Contohnya amalan membantu rakan sebaya dalam pengajaran berkumpulan,amalan bekerjasama semasa aktiviti ko kurikulum, hormat-menghormati,memberi salam dan banyak lagi nilai-nilai murni yang boleh diselitkan semasa proses pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu berlangsung.Nilai kewarganegaraan juga boleh dipupuk dalam diri seseorang individu sejak dari kecil lagi, iaitu melalui pengajaran bahasa. Mengajar Bahasa Melayu berkisar tentang tema Cintai Tanah Air, sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat sekolah , Pertandingan mencipta sajak kemerdekaan dan sebagainya, secara tidak langsung akan menerapkan nilai kewarganegaraan dalam diri murid-murid. Penutup Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi kayu pengukur untuk menentukan hala tuju kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan.Falsafah yang diterapkan oleh guru-guru di peringkat pra sekolah hinggalah ke sekolah menengah diharap mampu menjayakan hasrat murni kerajaan iaitu untuk melahirkan insan yang kamil.Dengan penerapan unsur-unsur falsafah pendidikan dalam pengajaran –pembelajaran Bahasa Melayu, maka segala aspirasi dan hasrat yang terkandung dalam FPK itu untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan seimbang dari segi rohani,intelek, emosi dan jasmani dapat direalisasikan dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment